E-SUKAN KINI HADIR DALAM BUKU TEKS BAHASA MELAYU
Pembelajaran atau pengetahuan am mengenai landasan e-sukan dan atlet-atlet ternama yang dikenali dalam bidang ini kini boleh didapati dalam buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4, tema 1 yang bermula pada tahun 2020 ini.
Kandungan dua halaman itu membariskan empat atlet (penulis menyertakan nama atlet dalam permainan yang ditandakan dengan simbol “)
- Ramona “GFI” Azween Zaharuddin (Counter Strike: Global Offensive)
- Nur Amirul “AmTuah” Afandi (FIFA)
- Kathireswaran “Infamous9” A/L Sugumaran (FIFA)
- Chai “Mushi” Yee Fung (Dota 2)
Atlet-atlet tersebut membincangkan persepsi terhadap e-sukan dan kriteria yang perlu ada pada setiap atlet untuk berjaya ke tahap mereka sekarang. Halaman pertama itu juga memperkenalkan apa itu e-sukan dan bagaimana pelajar sekolah menengah boleh memahami definisinya berserta contoh yang diberikan.
Difahamkan, pelajar-pelajar sekolah menengah akan menggunakan buku teks ini dalam masa lima tahun kehadapan bermula 2020.
Inisiatif dari Kementerian Pendidikan ini mampu membuka mata pelajar sekolah yang sekarang terdedah dengan arus teknologi dan bidang sukan baharu. Setidaknya, ini adalah langkah pertama yang wajar diberi perhatian. Semoga selepas ini, e-sukan terus dipandang sebagai bidang baru yang mampu memberikan impak positif!